"ADA yang menganggap tidur berdengkur sebagai sesuatu yang lumrah, terutama di kalangan lelaki. Walaupun ia dipandang ringan, tetapi dengkuran yang kuat dan kerap mungkin menjadi petanda masalah kesihatan lain.
Dianggarkan satu pertiga orang dewasa berdengkur. Dengkuran adalah bunyi yang terhasil daripada aliran udara ke atas tisu dalam kerongkong yang sedang berehat. Ia menyebabkan tisu tadi bergetar dan menghasilkan bunyi nafas yang kuat dan kasar.
Untuk mengurangkan dengkuran, beberapa perubahan perlu dilakukan seperti menurunkan berat badan atau tidur mengiring. Teknologi moden seperti pembedahan laser juga dapat membantu mengurangkan dengkuran. Namun, kaedah ini tidak sesuai untuk semua orang, terutama mereka yang mengalami masalah apnea, iaitu nafas terhenti ketika tidur.
Semakin nyenyak anda tidur, otot pada langit-langit, lidah dan kerongkong ada dalam keadaan rehat. Pada keadaan tisu ‘terlalu rehat’, getarannya lebih kuat dan menyebabkan halangan aliran keluar masuk udara dalam kerongkong.
Semakin sempit laluan dalam kerongkong anda, tekanan udara menjadi semakin tinggi dan ini secara tidak langsung meningkatkan kadar getaran tisu yang membuatkan dengkuran bertambah kuat.
Lelangit tebal dan rendah, tonsil yang besar atau tisu pada belakang kerongkong (adenoids) juga boleh menyempitkan laluan udara. Keadaan sama berlaku jika tisu berbentuk segitiga yang tergantung dari langit-langit (dipanggil uvula) adalah panjang. Malah, masalah berat badan berlebihan juga menyebabkan saluran udara ini sempit.
Terlalu banyak minum minuman beralkohol sebelum tidur turut menyumbang kepada masalah berdengkur. Alkohol bertindak sebagai sedatif yang merehatkan otot kerongkong. Kesesakan saluran pernafasan yang kronik juga boleh memburukkan keadaan.
Berdengkur juga sering dikaitkan dengan masalah apnea. Dalam keadaan serius, tisu kerongkong yang melendut akan menutup saluran udara dan secara tidak langsung ia memberhentikan pernafasan.
Apnea menyebabkan dengkuran kuat berselang setiap 10 saat atau lebih. Kekurangan oksigen dan peningkatan karbon dioksida akan membuatkan seseorang itu terjaga daripada tidur, memaksa laluan udara ini terbuka dan menghasilkan bunyi lebih kuat.
Biasanya orang tidak sedar mereka berdengkur. Ia hanya diketahui pasangan mereka dan boleh menjadi penanda masalah kesihatan lain seperti adanya sekatan dalam salur pernafasan dan obesiti.
Jika anak anda berdengkur, segera dapatkan nasihat doktor kerana ia mungkin berpunca daripada masalah pada hidung, kerongkong dan kegemukan.
Rawatan awal memberi banyak faedah kepada si kecil kerana ketika ini mereka memang memerlukan tidur secukupnya untuk tumbesaran sempurna.
Jenis rawatan bergantung kepada tahap dengkuran seseorang. Ia dikelaskan mengikut pandangan pasangan seperti:
Dengkuran hanya didengar jika ada di sebelah.
Dengkuran boleh didengar di seluruh bilik.
Dengkuran boleh didengar dari luar bilik (pintu terbuka).
Dengkuran boleh didengar dari luar bilik walaupun pintu ditutup.
Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan sejarah perubatan pesakit. Kemudian mereka akan dirujuk kepada doktor telinga, hidung dan tekak (otolaringologi, ENT) atau pakar menangani masalah tidur untuk pemeriksaan lanjut.
Tabiat berdengkur mungkin dianggap gangguan kecil saja tetapi jika tidak dirawat, seseorang itu dipercayai berdepan risiko mengalami masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok. Pada kanak-kanak, ia boleh meningkatkan risiko Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Mengubah gaya hidup dapat membantu mengurangkan masalah berdengkur. Jika ia masih tidak berjaya, doktor mungkin mencadangkan beberapa kaedah, iaitu pembedahan pada kerongkong secara tradisional atau laser untuk meluaskan laluan udara dan mengurangkan getaran tisu.
Bagaimanapun, pembedahan laser tidak sesuai untuk individu yang mengalami masalah apnea.Alat bantuan pergigian juga boleh digunakan bagi ‘membetulkan’ kedudukan lidah dan langit-langit supaya laluan udara anda terbuka.
Sebelum menjalani rawatan, ada beberapa cara boleh dicuba untuk mengurangkan masalah berdengkur seperti:
- Kurangkan berat badan jika anda termasuk dalam golongan obes. Dalam kebanyakan kes, kegemukan adalah punca paling lazim menyebabkan orang berdengkur.
- Tidur secara mengiring. Tidur telentang menyebabkan lidah tergelincir sedikit ke belakang, menyempitkan dan menghalang laluan udara.
- Dapatkan rawatan jika anda mengalami masalah pernafasan, sama ada disebabkan alahan atau gangguan dalam hidung. Bernafas melalui mulut akan memburukkan masalah berdengkur.
- Elak minum minuman beralkohol sebelum tidur.
- Jangan ambil ubat tidur (sedatif) kerana ia boleh mengganggu sistem saraf, menyebabkan rehat keterlaluan kepada otot dan tisu dalam kerongkong. Ia juga boleh meningkatkan masalah apnea.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan